Ahli keluarga mangsa memegang plakad bantahan semasa hadir bagi penyerahan memorandum untuk diserahkan kepada Kedutaan China bagi membantu rakyat ditipu kerja di Myanmar di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meminta bantuan kerajaan China bagi menyelamatkan rakyat Malaysia yang masih lagi terperangkap di Myanmar.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim merayu kepada kerajaan China untuk campur tangan untuk menamatkan kes sindiket pemerdagangan manusia di negara berkenaan.

“Kita meminta kerajaan China akan beri tekanan kepada sindiket untuk bebaskan semua rakyat Malaysia di Myanmar kerana tidak ada satu pun rakyat Malaysia yang perlu berada di Myanmar dan menjadi mangsa pemerdagangan.

“Sebagai lambang persahabatan Malaysia dan China dari sudut sosial, ekonomi dan kebudayaan adalah perlu menyelamatkan rakyat malaysia yang sudah lama ditahan dan diseksa di Myanmar,” katanya dalam sidang media selepas menghantar memorandum di hadapan Kedutaan China hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada Kedutaan China bagi membantu rakyat ditipu kerja di Myanmar di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 OKTOBER 2022.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut terlibat mewakili ahli keluarga mangsa antaranya Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (SEMBOYAN) dan Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islanmiah Malaysia (AL-EHSAN).

Tambah Hishamuddin, kerajaan China dan Myanmar mempunyai hubungan yang erat dari sudut ekonomi bahkan pelabur terbesar Myanmar adalah dari China.

“Sekiranya kerajaan China bertegas memberikan nota bantahan dan memorandum kepada kerajaan Myanmar untuk menghentikan pemerdagangan manusia, pasti Myanmar akan bertindak balas membebaskan rakyat Malaysia yang berada di sana.

“Kita dimaklumkan bagaimana ramai rakyat Taiwan telah dibebaskan dari Myanmar atas tekanan yang kuat daripada kerajaan China.

“Baru-baru ini juga tekanan kuat dari kerajaan India terhadap Myawaddy telah berjaya menyelamatkan lebih 100 rakyat India,” ujarnya.

Menurut Hishamuddin, beliau menerima maklumat yang Malaysia mengalami kesukaran untuk mendapat bantuan daripada kerajaan Myanmar bagi menyelamatkan rakyatnya yang masih lagi terkurung di sana.

“Kita telah pergi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Malaysia supaya menyampaikan maklumat kepada PBB yang berpengkalan di New York untuk bantu rakyat Malaysia.

“Ini merupakan satu usaha untuk membantu rakyat Malaysia yang masih lagi terperangkap di Myanmar untuk berjumpa dengan kedutaan China yang berada di Malaysia supaya mesej ini akan sampai ke Beijing,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast