najib razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar jumlah had pegangan setiap individu dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dinaikkan akan menjadi kenyataan sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan had pegangan ASB dari RM200,000 ke RM300,000 dengan pinjaman mudah pada kadar 1.5 peratus setahun seperti diumumkan dalam Bajet 2023 yang dibentang awal bulan ini.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat pada September tahun lalu, Najib mencadangkan agar jumlah tersebut dinaikkan sehingga RM400,000.

“Najib juga berkata fasiliti pinjaman bank perlu ditambah baik dengan jaminan kerajaan untuk mengambil kesempatan kadar caj perkhidmatan (kadar faedah) yang antara paling rendah dalam sejarah ketika itu agar peminjam boleh meminjam dengan kadar yang rendah untuk dilabur ke dalam ASB ketika harga-harga saham dalam pasaran saham adalah rendah.

“Najib kata apabila pasaran saham memulih setelah ekonomi pulih dari pandemik Covid-19, kadar dividen ASB juga akan memulih dan pulangan ini akan membantu peminjam selesaikan pinjaman ASB dalam tempoh yang lebih singkat memandangkan kadar caj perkhidmatan begitu rendah ketika itu,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pentadbir Facebook Najib Razak berkata, sekiranya pelabur berjaya menyelesaikan pinjaman bank melalui dividen tahunan ASB satu hari nanti, mereka akan menikmati pendapatan pasif sehingga RM2,000 sebulan apabila dividen ASB pulih ke paras minimum 6 peratus setahun seperti yang dibayar ketika BN memerintah sebelum PRU14.

“Diharapkan bahawa cadangan kerajaan ini akan menjadi realiti sekiranya BN menang PRU15 dan Bajet 2023 diluluskan agar pelabur ASB sempat untuk mengambil kesempatan kadar caj perkhidmatan bagi melabur dalam ASB ketika nilai pasaran saham rendah agar pelabur dapat membina kekayaan masing-masing dalam tempoh yang lebih singkat melalui skim ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette