Nadir bumi
Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri (tengah) menunjukkan laporan polis berhubung isu penerokaan unsur nadir bumi di luar pekarangan IPD Kota Setar, Kedah, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah mempersoalkan sikap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa membisu berhubung dakwaan penerokaan unsur nadir bumi secara haram di negeri itu.

Ketua Penerangannya, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sikap Sanusi yang menafikan penglibatan anak syarikat kerajaan negeri dan syarikat yang dilantik bagi meneroka unsur nadir bumi sangat merimaskan kerana kelihatan beliau tidak memandang serius perkara berkenaan.

Beliau mendakwa, Sanusi juga seolah-olah tidak mengambil peduli walaupun pelbagai pihak telah tampil mendesaknya menjelaskan beberapa isu.

“Kini selepas dua minggu ia dilaporkan akhbar, Menteri Besar Kedah masih membisu tentang tindakan terhadap ‘penerokaan haram’ itu yang berlaku di kawasan beliau sendiri.

“Sikap Menteri Besar Kedah dalam mengendalikan isu ini sesuatu yang pelik kerana dalam isu lain, contohnya bola sepak, beliau tangkas mengkritik pasukan lain tapi dalam isu ini, beliau menjadi bisu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Syed Mohd. Johan berkata, Pemuda UMNO Kedah mendesak Muhammad Sanusi menjelaskan nilai unsur nadir bumi yang ‘dicuri’.

Beliau juga bertanya mengapa kerajaan negeri tidak mengambil tindakan sebelum ini walaupun ia sudah lama berlaku.

“Jangan setakat kata kami tidak tahu kerana ia berlaku di kawasan Menteri Besar sendiri dan beliau sudah pasti mendapat maklumat dari penduduk dan laporan agensi.

“Apakah tindakan kerajaan seterusnya? Menutup kawasan berkenaan? Menamatkan lesen penerokaan syarikat diluluskan?” soalnya.

Syed Mohd. Johan turut memaklumkan, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung isu penerokaan unsur nadir bumi itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada 10 Oktober lalu.

“Pemuda UMNO Kedah berharap laporan polis itu dapat memberi pencerahan terhadap apa yang sebenarnya berlaku sehingga kawasan hutan sebegitu luas diteroka tanpa sebarang tindakan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette