Soffian (gambar kiri) memberikan nasihat terhadap mereka yang ditahan dalam parti liar di Batu Feringghi pada Khamis lalu.

GEORGE TOWN – Seramai 22 individu termasuk enam remaja bawah umur ditahan selepas didapati menyertai parti liar di sebuah banglo tiga tingkat di Batu Feringghi di sini, pada Khamis lalu.

Serbuan jam 1.40 pagi itu membawa kepada tangkapan 14 lelaki tempatan dan lapan wanita tempatan berusia 16 hingga 21 tahun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, daripada jumlah tersebut, enam daripada mereka merupakan remaja bawah umur termasuk seorang yang masih bersekolah.

Kata beliau, siasatan awal mendapati parti liar itu dianjurkan lelaki tempatan berusia 19 tahun yang menyewa banglo berkenaan dengan kadar RM1,000 sehari.

Antara dadah yang dirampas polis dalam serbuan.

“Setiap pengunjung yang hadir ke parti itu dijemput menerusi kumpulan WhatsApp dan mereka perlu membayar wang antara RM80 hingga RM100 bagi menyertai pesta tersebut.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dan setakat ini mereka mengakui ia adalah kali pertama parti itu dianjurkan namun kita percaya sudah ada sebelum ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini, hari ini.

Menurut Soffian, dalam serbuan itu, polis merampas dua paket dadah jenis ketamin bernilai RM150 serta tiga biji pil ekstasi bernilai RM45.

”Hasil saringan air kencing ke atas 22 individu berkenaan juga mendapati enam lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Kesemua direman selama enam hari sehingga esok,” katanya.

Mengulas lanjut Soffian berkata, kira-kira jam 2.30 petang hari yang sama, kesemua mereka diserah kepada Unit Agama dan Kaunselling Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard IPD Timur Laut bagi sesi kaunseling dan ceramah.

“Hadir sama ialah penjaga dan waris terdekat kesemua tangkapan.

“Polis memandang serius terhadap aktiviti parti liar yang turut membabitkan penyalahgunaan dadah dan seterusnya mendorong kepada aktiviti tidak bermoral,” kata Soffian. – MalaysiaGazette