KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Bahagian Muar tidak terlibat dalam insiden kekecohan semasa ceramah Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar, Johor malam tadi.
Ketuanya, Helmy Abd. Latif berkata, beliau bersumpah tidak memberi arahan untuk menimbulkan gangguan tersebut.
“Selaku Ketua Pemuda UMNO Muar, saya berkeras habis-habisan menolak politik secara provokasi seperti ini.
“Tak kira dibayar atau tidak, ini satu budaya yang tidak sihat dalam politik di negara kita,” katanya melalui Twitter, hari ini.
Beliau mengulas tentang rakaman video yang tular dalam media sosial menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal membuat bunyi bising ketika Syed Saddiq menyampaikan ceramah.
Tanpa usul periksa, Ahli Parlimen Muar itu menuduh UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai dalang di sebalik kekecohan tersebut.
Helmy menegaskan, pentas politik harus diraikan secara terbuka dan semua pihak perlu menjadi manusia yang bermaruah.
“Kita nak lawan, lawan dengan ideologi yang betul. Kita bawa negara ke arah lebih baik,” jelasnya.
Ramai netizen termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim meminta Helmy membuat laporan polis agar insiden itu disiasat.
“Insya-Allah YB, Demi Muar. Semoga kita semua terus berkempen secara sihat,” jawab Helmy. – MalaysiaGazette