LTAT
Bangunan LTAT - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Prestasi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merudum sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, dividen LTAT jatuh dua peratus pada 2018 dan 2.5 peratus pada 2019.

Sebagai perbandingan, sejak ia ditubuhkan dan sepanjang tempoh kerajaan Barisan Nasional (BN), LTAT memberi dividen dan bonus melebihi kadar 10 peratus setiap tahun.

“Purata dividen dan bonus sepanjang tempoh 44 tahun sehingga tahun 2017 sebelum PRU14 ialah 11.3 peratus. Pada tahun 2017, dividen LTAT adalah 12 peratus,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak memberitahu, ekonomi negara dan bursa saham yang menjunam amat teruk sepanjang tempoh pemerintahan PH merupakan antara faktor yang menyebabkan prestasi LTAT merudum.

Katanya, faktor lain adalah tindakan kerajaan PH melewatkan dan membekukan projek kapal tempur pesisir milik LTAT.

“Selain itu, projek sistem penguatkuasaan automatik (AES) milik LTAT terpaksa diserah kembali kepada kerajaan PH.

“Setelah diambil alih, kerajaan PH tambah jumlah kamera AES dan mansuhkan kompaun dan diskaun saman untuk tingkatkan pendapatan dari AES – biar pun janji mereka sebelum PRU adalah untuk batalkan AES,” jelasnya.

Beliau menambah, projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT2) yang sebahagiannya dimiliki LTAT dibatalkan dan diberi semula setelah dipotong harga 15 peratus.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, selepas kerajaan PH tumbang, dividen LTAT mula memulih secara perlahan ke 3.5 peratus pada 2020 dan 4.1 peratus pada 2021.

“Biarpun apa tohmahan, tuduhan atau video propaganda yang dikeluarkan PH untuk mengelirukan dan menipu rakyat, siapa yang jaga kepentingan dan kebajikan veteran dan siapa yang hancurkan adalah amat jelas.

“Biar fakta dan rekod prestasi berbicara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast