Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein

KUANTAN – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk mendepani bencana banjir, termasuk jika bencana itu berlaku ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini, pihaknya mahu memastikan penglibatan ATM menyeluruh yang tidak hanya semasa banjir berlaku tetapi juga sebelum dan pasca banjir.

“Kementerian telah membuat persiapan mengarahkan Panglima Angkatan Tentera dan Panglima-Panglima Perkhidmatan untuk memastikan kesiapsiagaan anggota ATM terutama di negeri-negeri berisiko terjejas berada pada tahap tertinggi sejak September.

“Persiapan dan kesiapsiagaan ini penting bagi membolehkan ATM mengaturgerak anggota serta asetnya pada bila-bila masa sebaik sahaja menerima arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta semua agensi yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Penyerahan Aset Banjir Kementerian Pertahanan di Pangkalan Tentera Udara Kem Batu 10, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihaknya telah mengarahkan kepimpinan ATM di Pahang untuk berkomunikasi dengan kerajaan negeri dan agensi tertabit dalam menyalurkan bantuan ketika banjir. – MalaysiaGazette