KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Muar membuat laporan polis terhadap Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam.
Ketuanya, Mohd. Helmy Abd. Latif berkata, laporan itu dibuat ekoran dakwaan kononnya Pemuda UMNO melakukan provokasi dan kekacauan ketika Ceramah Mega Muar anjuran Muda berlangsung malam kelmarin.
Beliau juga telah berbincang dengan peguam untuk memfailkan saman terhadap mereka yang telah menuduh Pemuda UMNO dalam kes tersebut.
Mohd. Helmy memberitahu, tuduhan itu dikemukakan dalam bentuk ucapan dan beberapa paparan dalam laman Twitter terhadap Pemuda UMNO sebagai kumpulan yang mencetuskan kekecohan semasa Syed Saddiq berucap di pekarangan Pejabat Parti MUDA Muar.
“Selaku Ketua Pemuda UMNO Muar, saya menegaskan bahawa Pemuda UMNO Muar khasnya dan Pemuda UMNO secara keseluruhannya menolak politik secara provokasi sebegini dan ia adalah budaya yang tidak diamalkan oleh kami.
“Untuk pengetahuan semua, keseluruhan jentera Pemuda UMNO Bahagian Muar terlibat secara langsung dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO dan juga Pelancaran Jentera Pilihan Raya kelmarin.
“Secara logiknya mustahil bagi kami untuk meluangkan masa melakukan sesuatu yang tidak langsung mendatangkan faedah kepada parti,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya malam tadi.
Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Johor.
Rakaman video yang tular dalam media sosial sejak kelmarin menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal membuat bunyi bising ketika Syed Saddiq menyampaikan ceramah.
Tanpa usul periksa, Ahli Parlimen Muar itu menuduh UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai dalang di sebalik kekecohan tersebut. – MalaysiaGazette