Bot nelayan Vietnam bersama 14 awak-awak yang dipintas oleh TLDM kerana menceroboh dan menangkap hasil laut di zon maritim Malaysia secara haram dalam kejadian di perairan Pulau Tioman semalam.- Gambar ihsan TLDM

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam buah bot nelayan asing milik Vietnam yang dikesan menceroboh perairan Pulau Tioman dan menangkap hasil laut negara.

Bagaimanapun cubaan mereka melarikan diri berjaya dipintas dan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintaham Armada Barat Lumut Perak berkata, bertindak daripada hasil maklumat yang dikongsikan melalui Rakan Maritim Endau, Rompin, TLDM berjaya mengesan enam buah bot nelayan Vietnam itu kira-kira di 30 batu nautika utara Pulau Tioman lewat petang semalam.

“Kesemua bot nelayan Vietnam itu dalam cubaan melarikan diri ke arah utara sejurus menyedari kehadiran aset TLDM setelah menceroboh Zon Maritim Malaysia (ZMM).

“KD Pendekar yang sedang melaksanakan Rondaan ZMM dan Op Kekal Warisan telah berjaya memintas dan menahan sebuah bot terhampir serta melaksanakan pengeledahan ke atas BNV tersebut.

“Terdapat 14 orang awak-awak warganegara Vietnam di atas BNV tersebut dan setelah dikenalpasti kesemua awak-awak tiada mempunyai sebarang dokumen yang sah,” kata kenyataan hari ini.

Tangkapan enam bot nelayan Vietnam berjaya dibuat TLDM dengan maklumat dan kerjasama APMM di perairan Pulau Tioman semalam. – Gambar ihsan TLDM

Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak lapan buah peti simpanan yang penuh dengan hasil laut dan dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Menurut jabatan itu lagi, maklumat tersebut telah disalurkan kepada pihak Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) iaitu KM Marudu.

“Kesemua bot nelayan Vietnam itu telah diserahkan kepada KM Marudu untuk pemeriksaan dan tindakan selanjutnya. Aset TLDM meneruskan rondaan di ZMM bagi mengesan kesemua BNV yang telah melarikan diri dan BNV tersebut juga dipercayai telah keluar dari ZMM.

“Kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh rakan Maritim dan kesemua agensi terlibat memastikan setiap cubaan menceroboh akan dipatahkan sama ada di laut mahupun di darat.

“ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara serta TLDM bersama agensi penguatkuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada sebilang masa,” tegasnya. – MalaysiaGazette