SHAH ALAM – Sebanyak 576 buah sekolah di dalam dan luar bandar seluruh negara akan terlibat dalam program rintis Reading Progress bagi memperkasa penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris (BI).
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, program tersebut bakal melibatkan seramai 1,088 orang guru.
Jelas beliau, aplikasi berkenaan akan digunakan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran khususnya untuk membantu murid-murid menguasai sebutan perkataan dalam BI dengan baik.
“Ia merupakan satu pendekatan yang mana murid-murid boleh merekodkan audio dan video atau kedua-dua apabila membaca dalam BI dan sistem ini membantu apakah perkataan dan sebutan tidak betul dan sebagainya.
“Ini akan dapat membantu murid mengenal perkataan baharu dan penyusunan struktur ayat yang lebih baik,” katanya ketika sidang media selepas majlis pelancaran hari ini.
Tambah beliau, aplikasi berkenaan juga akan memudahkan guru membuat penilaian tahap kemampuan pelajar dalam mata pelajaran BI.
“Bantu guru untuk tahu murid mana yang capai tahap baik atau memerlukan intervensi,” jelas Radzi.
Beliau menjangkakan penggunaan aplikasi berkenaan akan diperluaskan ke semua sekolah di seluruh negara pada awal tahun depan.
“Ini sebagai suatu permulaan insya-Allah selepas kita laksanakan program rintis dan kita tambah baik sekiranya ada keperluan dan kita akan laksanakan di seluruh negara,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette