Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim bercakap pada sidang media mengenai pelancaran jentera sukarelawan sebagai langkah persediaan dalam menghadapi banjir berskala besar yang diramalkan bakal melanda negara di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Merchant Square, Petaling Jaya. Foto AFFAN FAUZI, 18 OKTOBER 2022.

PETALING JAYA – Tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)  mengintai kerusi Parlimen Titiwangsa harus dibawa ke meja rundingan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sesiapa sahaja boleh membuat kenyataan berhubung perkara itu namun ia perlu mendapat kata putus Majlis Presiden PH yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setahu saya ini bukan kerusi bawah PKR dan kerusi itu di bawah Amanah (Parti Amanah Negara), kita serahkan kepada Majlis Presiden PH untuk tentukan.

“Kita setuju untuk adakan kerjasama di antara PH dengan MUDA dan sudah tentunya ada parameter dan syarat yang telah dipersetujui untuk kita bersetuju dengan kerjasama politik tersebut,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran Khidmat Malaysia dan Laskar Bencana AMK di ibu pejabat PKR, hari ini.

Kamil diminta mengulas mengenai laporan media tentang parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa mengintai kerusi Titiwangsa untuk Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), tidak lama lagi.

Parti itu mengakui pihaknya telah menggerakkan aktivisnya, Siti Rahayu Bahardin, 41 untuk diketengahkan sebagai calon di Parlimen itu.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Titiwangsa ditandingi oleh Datuk Seri Rina Harun ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding di bawah PH semasa Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU4) pada 2018 lalu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pernah mendakwa kerusi Titiwangsa pada asalnya adalah milik Amanah sebelum diberikan kepada Rina.

Dalam pada itu, Kamil berkata, beliau bersedia sekiranya dicalonkan dimana-mana kerusi pada PRU15 kelak.

“Saya serah segala keputusan kepada pucuk pimpinan untuk buat keputusan, malah AMK akan menerima dan sedia terima sebarang tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada parti,” katanya lagi.

Semalam, Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang, Goh Choon Aik berkata, Ketua AMK, Adam Adli dilihat lebih berpeluang untuk bertanding di Nibong Tebal pada PRU15 kelak.

Choon Aik menolak kemungkinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Nibong Tebal untuk menebus kembali kerusi itu selepas Datuk Mansor Othman meninggalkan PKR. – MalaysiaGazette