Anggota bomba membawa mayat mangsa turun ke kaki Bukit Jambul sebelum diserahkan kepada pihak polis.

GEORGE TOWN – Seorang pesara bomba meninggal dunia akibat serangan jantung ketika melakukan aktiviti mendaki bukit di Bukit Jambul di sini, hari ini.

Idris Hamat, 59, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menuruni bukit tersebut seorang diri di lokasi yang terletak kira-kira 150 meter dari kaki bukit.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian seorang lelaki dilaporkan pengsan atas bukit tersebut pada jam 6.08 petang.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dikerahkan ke lokasi sebelum mendapati mangsa yang juga bekas pesara bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Bagaimanapun pegawai kesihatan yang berada di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Anggota bertugas menggunakan pengusung untuk membawa turun mangsa ke kaki bukit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah jurucakap itu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi proses selanjutnya.

MalaysiaGazette difahamkan mangsa berkhidmat di BBP Jalan Perak sebagai pemandu jentera dan bersara tiga tahun lalu. – MalaysiaGazette