PARIS – Polis Perancis telah melancarkan siasatan pembunuhan selepas mayat seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ditemui dalam beg pakaian di luar rumahnya di timur laut Paris.
Mangsa yang dinamakan sebagai Lola Daviet dipercayai telah dirogol dan diseksa sebelum dibunuh.
Pada hari Isnin, dua suspek, seorang wanita gelandangan, 24, dan seorang lelaki, 43, telah dibawa kepada hakim.
Dua lagi individu dilaporkan juga sedang disoal siasat polis.
Siasatan rasmi untuk “rogol yang dilakukan dengan tindakan penyeksaan dan menyembunyikan mayat.
Kelibat suspek utama dirakam kamera litar tertutup (CCTV) ketika dia – sama ada menemani atau mengikut Lola masuk ke dalam bangunan pangsapuri yang didiami gadis itu kira-kira jam 3.30 petang Jumaat, beberapa minit selepas kanak-kanak itu meninggalkan kawasan sekolah.
Wanita itu kemudian dilihat oleh penduduk tempatan sedang menolak beg plastik besar di sekitar kawasan itu.
Beg pakaian itu ditinggalkan di luar blok apartmen tidak jauh dari bangunan di 19th arrondissement, tempat Lola tinggal bersama ibu bapanya, Delphine dan Johan, yang merupakan penjaga bangunan itu.
Mayat Lola ditemui oleh seorang gelandangan pada petang Jumaat.
Bedah siasat yang dijalankan pada hari Sabtu mendapati luka di kerongkong; pejabat pendakwa raya melaporkan bahawa gadis itu telah mengalami sesak nafas.
Bapa Lola melaporkan Lola telah menghilangkan diri selepas gagal pulang dari sekolah, yang terletak tidak jauh dari rumah mereka.
Suspek wanita itu tinggal bersama kakaknya, berusia 26 tahun, yang tinggal di blok pangsapuri yang sama dengan Lola.
Suspek kedua dipercayai pemandu kenderaan yang mengalihkan mayat Lola.
Suspek utama dilaporkan menganggur, tinggal di jalanan dan mengalami “masalah psikiatri” yang teruk. – Agensi