Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) bergambar bersama selepas Majlis Sambutan Hari Warga Emas Hospital Kuala Lumpur 2022 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 18 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Malaysia diunjur menjadi negara warga emas dengan 14 peratus daripada populasinya berumur 65 tahun dan ke atas menjelang 2050.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kesan peningkatan populasi warga emas itu akan menyaksikan kos penjagaan kesihatan yang tinggi dan impak bebanan dalam bentuk kewangan serta tanggungjawab besar kepada ahli keluarga dan masyarakat.

Justeru menurut beliau, kerajaan mesti bersiap sedia dan bertindak awal untuk memastikan Keluarga Malaysia kekal sihat, berdikari dan dapat menjalani hidup yang berkualiti sepanjang hayat mereka.

“Kita kena terima hakikat akan terdapat ramai warga emas daripada orang muda pada masa akan datang dan golongan ini tidak memiliki kemampuan kesihatan yang sama.

“Ada yang masih kuat dan mahu bertanding dalam pilihan raya serta pada masa sama ada warga emas yang menerima rawatan. Justeri kerajaan mahu menjaga maruah warga emas yang lebih baik apatah lagi jangka hayat rakyat negara ini meningkat sehingga umur 80 tahun berbanding umur 60 hingga 70 tahun sebelum ini.

“Oleh itu kita hendak pastikan pertambahan masa warga emas itu terjaga dan tidak mahu hidup dengan pertambahan umur dalam keadaan sakit dan biarlah sihat pada usia lanjut,” katanya pada sambutan Hari Warga Emas 2022 di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berucap pada Majlis Sambutan Hari Warga Emas Hospital Kuala Lumpur 2022 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 18 OKTOBER 2022.

Khairy menambah, visi sistem kesihatan di Malaysia seharusnya menuju ke arah Seamless Intergrated Care yang mana peralihan dan kesinambungan penjagaan pesakit dari hospital akan diteruskan secara lancar dan efisien apabila pesakit kembali ke dalam komuniti dan akhirnya ke rumah mereka.

Menyedari keperluan itu katanya, projek rintis Seamless Geriatric Care dijalankan antara Unit Geriatrik, HKL dan Klinik Kesihatan Jinjang, Klinik Kesihatan Kuala Lumpur serta Unit Geriatrik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang beserta klinik-klinik kesihatan di bawah Pejabat Kesihatan Daerah, Klang.

Beliau berkata, projek itu menunjukkan manfaat besar kepada pesakit warga emas melalui perkhidmatan yang efisien, holistik dan person-centred-care, bertepatan dengan konsep fundamental perubatan geriatrik.

“Melalui projek rintis yang mula dilaksanakan pada tahun 2019 ini, para pesakit dirawat secara bersama oleh pakar geriatrik dan pakar kesihatan keluarga di mana pelan pengurusan rawatan bagi pesakit dikongsi dan dilaksanakan secara bersama oleh kedua-dua pasukan pakar.

“Keadaan ini dapat mengelakkan daripada berlakunya kelewatan dalam rawatan terhadap pesakit geriatrik,” katanya.

Sementara itu, Khairy memberitahu, Unit Geriatrik HKL menerima sebanyak 17,540 kes pesakit geriatrik setiap tahun yang mendesak unit itu memastikan penjagaan kesihatan dan rawatan berkualiti dan selamat diberikan kepada pesakit warga emas.

Ujar beliau, pihak pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia telah meluluskan perolehan katil berteknologi tinggi beserta tilam khas berjumlah RM450,000.

“Di samping itu, dua buah unit Potrable Ultrasound (bladder scan) baharu dan satu unit Portable Video Rhino Larnygoscope dengan nilai keseluruhan berjumlah RM100,000 juga akan ditempatkan di Unit Geriatrik HKL.

“Semua peralatan ini akan dibekalkan secara berperingkat pada hujung tahun ini bergantung kepada kesediaan peralatan dalam pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy menambah, Malaysia memerlukan pelan tindakan menyeluruh di semua peringkat agensi kerajaan sebagai persediaan komprehensif menjadi negara tua menjelang 2030.

Beliau berkata, pelan tindakan itu bukan hanya di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia namun membabitkan semua sektor dalam kerajaan serta komuniti. – MalaysiaGazette

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (kiri) bersama Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Dr Rohana Johan (kanan) menyempurnakan gimik pada Majlis Sambutan Hari Warga Emas Hospital Kuala Lumpur 2022 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 18 OKTOBER 2022.