Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga India ditemui mati di tingkat bawah sebuah flat di Taman Sri Muda, Shah Alam, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya yang menerima laporan dari orang awam berkaitan penemuan mayat lelaki telah mengerahkan anggota ke lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dalam keadaan berdarah dipercayai jatuh dari tingkat 3 blok flat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mayat telah dibawa ke Hospital Klang untuk bedah siasat.

Katanya, berdasarkan maklumat terakhir pas lawatan kerja sementara yang ada pada pasport mangsa, beliau pernah bekerja sebagai pekerja kargo dan tamat perkhidmatannya pada 2016.

Menurut Mohd Iqbal, kes diklasifikasi dan disiasat di bawah Laporan Mati Mengejut (SDR) oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Mohammad Firdaus Mohd Khairi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat m,enegnai kes tersebut diminta menyalurkannya dengan Pegawai Penyiasat di talian 012-6513046. – MalaysiaGazette