Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – “Saya cabar beliau bertanding di Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-15 (PRU-15).”

Itu reaksi Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh terhadap Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian selepas tindakan Syed Saddiq mendakwa Pemuda UMNO membuat provokasi dan kekacauan ketika Ceramah Mega Muar anjuran parti berkenaan di Parit Jawa, Muar baru-baru ini.

“Mengikut keputusan PRU-14 lalu, di Parlimen Jasin, Barisan Nasional (BN) hanya menang dengan 219 majoriti. Jadi Jasin ini adalah tempat yang neutral.

“Saya cabar Syed Saddiq untuk datang ke Jasin ini dan kita bertanding secara anak jantan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Dr Muhamad Akmal, Pemuda UMNO bukanlah jenis yang suka membuat propaganda untuk meraih simpati seperti yang didakwa parti Muda.

“Kami adalah generasi yang dilatih ketika UMNO kalah dan generasi yang kekal setia tidak lari melompat pagar meninggalkan kawan-kawan ketika susah.

“Jadi cukup-cukuplah untuk buat propaganda kebencian demi untuk meraih simpati dan undi rakyat,” katanya lagi.

Jelasnya, Syed Saddiq perlu berkempen secara sihat dan matang untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Bertanding secara sihat dan anak jantan, jangan gunakan taktik memburukkan orang lain,” katanya lagi.

Dr. Muhamad Akmal dijangka akan membuat sidang media mengenai cabaran yang sama selepas mesyuarat Exco Melaka petang ini.

Pada Ahad lalu , Ceramah Mega Muar anjuran Muda terganggu dengan insiden provokasi daripada sekumpulan ‘mat motor’ yang tidak dikenali.

Insiden tersebut tular di media sosial apabila kumpulan ini menjerit ‘penipu’ terhadap bekas Ahli Parlimen Muar itu.

Namun, polis berjaya mengawal keadaan dan ceramah diteruskan tanpa berlaku perkara yang tidak diingini.

Susulan itu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd Helmy Abd Latif membuat laporan polis terhadap Syed Saddiq dan beberapa kepimpinan Muda kerana mendakwa Pemuda UMNO terlibat membuat kekecohan dan kekacauan semasa program tersebut. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.