Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes rasuah atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan memfailkan permohonan bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap pasukan pendakwaan yang didakwa cuba menyekat bukti dalam kes rasuah yang dihadapinya.

Sebelum ini, mahkamah mengarahkan pihak pendakwaan memberi rujukan laporan forensik kepada saksi kelapan dan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Mohd Firdaus Wan Yusof.

Satu salinan WhatsApp yang dikemukakan ketika perbicaraan kes menipu yang dihadapi G. Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini yang mana ia boleh membuktikan RM2 juta yang diberi kod nama ‘coklat’ tidak diberikan kepada Guan Eng.

Ketika disoal peguam bela, Gobind Singh Deo, Wan Mohd Firdaus berkata, hanya tarikh diberikan kepada pasukan pembelaan dan bukannya salinan WhatsApp.

“Ini memalukan apabila pendakwaan tidak boleh memberi maklumat berhubung laporan sama yang dikemukakan ketika perbicaraan ahli perniagaan itu. Kandungan Whatsapp itu sebenarnya membuktikan anak guam telah dikenakan dalam kes ini,” kata Gobind Singh.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat berkata, adalah tidak adil untuk menuduh pasukan pendakwaan sedemikian.

Kata beliau, sejak Julai 2021, pasukan pembelaan telah membuat pelbagai permohonan yang mengganggu prosiding.

Berikutan itu, beliau mencadangkan supaya pasukan pembelaan membuat permohonan baharu berhubung laporan forensik itu bagi mempercepatkan proses perbicaraan.

Jelasnya, pasukan pembelaan boleh membuat permohonan terhadap semua eksibit baharu dan tidak perlu memohon pada masa akan datang.

“Senaraikan sekali peruntukan undang-undang dalam penulisan afidavit permohonan. Kita akan hujah secara sekali. Untuk makluman, kes Gnanaraja di mahkamah juga sudah diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Saya tak terbabit kes itu, maka tidak boleh sahkan mengenai keberadaan laporan forensik itu,” ujarnya.

Berikutan itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi menetapkan maklumat berkaitan perbualan Whatsapp Gnanaraja perlu diberikan kepada pasukan pembelaan.

Azura kemudian menetapkan perbicaraan bersambung pada 23 November ini dan tarikh pendengaran prosiding menghina mahkamah akan ditetapkan selepas pasukan pembelaan memfailkan permohonan itu dalam tempoh tiga minggu.

Guan Eng yang juga Pengerusi DAP didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu daripada Zarul Ahmad.

Selain itu, Guan Eng berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast