Mohamed Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin menganggap tahap kesihatannya dijadikan alasan untuk tidak menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) satu perkara melucukan.

Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, merasakan alasan yang diberikan itu seolah-olah calon parti politik yang ada sihat walafiat semuanya.

“Ya, benar saya pernah dua kali collapsed semasa menjalankan tugas. Maka atas dasar itu dispekulasikan sekarang saya pun tidak sihat.

“Agak lucu juga alasan kesihatan ini kerana seolah-olah ramai dari para pemimpin parti politik tanpa mengira parti politik, semuanya sihat walafiat dan segar bugar.

“Yang lagi lucu dalam keadaan saya dikatakan tidak sihat saya boleh dikatakan mengambil bahagian yang agak aktif berbahas di dalam Parlimen apatah lagi perbahasan hampir semua RUU menyentuh pelbagai genre undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) itu berkata, dia malah diminta mewakili partinya dalam jawatankuasa pilihan khas bipartisan bagi menggubal undang-undang anti lompat parti.

Media sebelum ini melaporkan Hanipa besar kemungkinan digugurkan sebagai calon pada PRU-15 dan akan digantikan pemimpin lain dalam Amanah.

Sumber terdekat berkait perkara itu berkata, parti itu dikatakan bercadang mengetengahkan Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah, yang pencalonannya dijangka diumum pada tempoh terdekat.

Dalam satu kenyataan yang sama Hanipa menegaskan, dia bersedia untuk mempertahankan kerusi itu jika diberikan peluang oleh pucuk pimpinan parti dan Pakatan Harapan.

Beliau menafikan spekulasi yang mengatakan kesihatannya menjadi faktor dia mungkin tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sepang.

“Jujurnya, saya sentiasa bersedia insya-Allah jika dicalonkan semula oleh parti kerana saya tahu saya masih mampu lagi untuk berkhidmat dan saya juga bersedia insya-Allah jika sebaliknya yang berlaku.

“Saya percaya kepada kebijaksanaan parti Amanah yang sudah tentu menjadikan faktor winnibility (boleh menang) sebagai faktor utama dan dominan untuk dipilih menjadi calon – setakat saya selalu diberitahulah kecuali polisi itu telah bertukar sekarang

“Saya juga tidak rasa pemimpin Amanah yang amat berpengalaman terlalu naif dalam isu pemilihan calon lalu ingin terlibat dalam ujikaji trial and error dalam proses pencalonan di pilihan raya yang presiden Umno katakan ‘ibu segala pilihan raya’,” katanya.

Hanipa dipilih sebagai Ahli Parlimen Sepang pada Pilihan Raya Umum 2013.

Pada 2016, beliau menjalani pembedahan kerana pendarahan otak.

Beliau pernah dikejarkan ke hospital sewaktu persidangan Dewan Rakyat pada 4 April 2016 apabila didapati pengsan.

Pada 2018, beliau didapati menderita serangan vasovagal yang antara simptomnya boleh mengakibatkan penghidapnya pengsan. – MalaysiaGazette