IPOH – Polis menerima dua laporan berhubung insiden pertengkaran di antara waris keluarga pesakit dan pihak pengawal keselamatan Hospital Teluk Intan yang tular di media sosial, semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, siasatan awal mendapati punca insiden adalah disebabkan isu menghantar salinan sinar-x oleh pihak waris kepada pesakit yang berada di wad perempuan di luar waktu melawat.
“Tempoh lawatan yang dibenarkan oleh pihak hospital bermula dari 12.30 tengah hari hingga 2 petang bagi sesi pagi manakala sesi petang bermula dari 4.30 petang hingga 7 malam. Kejadian didapati berlaku pada 11 malam,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pengawal akan membenarkan waris masuk jika individu yang menjaga pesakit ditukar ganti memandangkan hanya seorang sahaja dibenarkan berada dalam wad pada satu-satu masa.
“Keengganan pihak waris dalam mematuhi peraturan telah menimbulkan provokasi kepada pengawal yang sedang bertugas sehingga berlakunya pertengkaran.
“Laporan polis yang dibuat oleh pengawal keselamatan yang terlibat di dalam video tular di media sosial telah diambil tindakan dan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk dipadamkan,” katanya.
Video berdurasi satu minit 28 saat itu tular di akaun Facebook @Mitra Vani sejak semalam dan meraih lebih 2,000 perkongsian. – Bernama