Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM hari ini.

CHERAS – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyambut ulang tahun ke-25 iaitu sambutan Jubli Perak dengan penuh lakaran kejayaan.

Sejak 25 tahun ditubuhkan, HCTM telah berkembang menjadi sebuah hospital pengajar di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang telah melahirkan ratusan pakar perubatan di dalam dan di luar negara.

Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak 25 Tahun HCTM dan Wad Tuanku Canselor yang diadakan hari ini telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Canselor UKM.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar  dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan yang telah dilakar sepanjang tempoh 25 tahun penubuhan HCTM.

”Saya pasti kejayaan ini juga dapat melebarkan jaringan dengan pihak luar khasnya dalam bidang penyelidikan, pengajaran dan perkhidmatan bagi meningkatkan lagi prestasi HCTM setaraf dengan hospital pengajar yang hebat di persada dunia,” katanya.

Beliau berkata, antara kejayaan yang telah dicapai oleh HCTM adalah Advanced Surgical Skills Centre (ASSC) yang menjadi pusat latihan kemahiran pembedahan pertama di luar United Kingdom telah menerima akreditasi dari The Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) bagi tempoh lima tahun iaitu sehingga April 2027.

Selain itu, katanya, Pusat Reproduktif Termaju menjadi Pusat Rujukan Onkofertiliti Pertama Malaysia menawarkan perkhidmatan pembekuan gamet dan tisu ovari kepada pesakit kanser.

”Sehingga kini, pusat ini telah melahirkan ramai pakar reproduktif di Malaysia dan antarabangsa kerana pusat ini turut berfungsi sebagai pusat latihan reproduktif,” katanya.

HCTM yang ditubuhkan pada 1 Julai 1997 merupakan sebuah hospital yang mempunyai 104 kepakaran dengan jumlah melebihi 200 orang pakar.

Dalam aspek tenaga kerja, HCTM pada masa ini mempunyai 3,920 kakitangan, 1,054 katil pesakit aktif, 12 klinik pakar, lima pusat jagaan harian, 47 wad, 27 dewan bedah dan tujuh pusat kecemerlangan penyelidikan.

Sepanjang pengoperasian ini, HCTM telah merawat lebih 6.5 juta pesakit dengan purata tahunan adalah seramai 212,720 pesakit.

Pada majlis yang sama, Tuanku Canselor turut berkenan berangkat mencemar duli melawat dan merasmikan Wad Tuanku Canselor.

HCTM telah membuat pengubahsuaian ruang di aras 7, Blok Klinikal HCTM pada tahun 2017 dengan mewujudkan 15 buah bilik Wad Eksekutif dan 2 bilik Wad Tuanku Canselor.

Pengubahsuaian wad telah siap sepenuhnya pada tahun 2020.

Kemudahan Wad Tuanku Canselor disediakan dengan kelayakan utama diberikan kepada Tuanku Canselor UKM dan keluarga terdekat manakala Wad Eksekutif dibuka kepada pesakit HCTM yang berkemampuan. – MalaysiaGazette