Keadaan tembok kediaman rasmi MB Kedah yang dilempar cat.

KUALA LUMPUR – Insiden pintu pagar dan tembok kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor disimbah cat kelmarin didakwa mempunyai kaitan dengan politik provokasi pihak lawan.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, provokasi itu adalah budaya tidak matang dan perlu ditangani segera sebelum membarah dalam landskap politik tanah air.

Menurut beliau, pelaku dan dalang di sebalik insiden tidak bermaruah itu harus segera dikenakan tindakan kerana jelas sekali ia adalah perbuatan khianat.

“Persoalannya mengapa perkara ini boleh berlaku? Saya perhatikan dalam sejarah, tidak pernah berlaku kebencian sehingga ke tahap ini kepada mana-mana Menteri Besar Kedah.

“Sejak zaman BN memegang tampuk kepimpinan Kedah, sehingga Pakatan Harapan (PH) memegang sementara negeri Kedah insiden seperti ini tidak pernah berlaku,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

shaiful hazizy zainol abidin
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

Shaiful Hazizy juga terkejut melihat kediaman rasmi Menteri Besar Kedah menjadi sasaran pihak tertentu sedangkan Seri Mentaloon dikawal oleh polis dan dilengkapkan dengan kamera televisyen litar tertutup (CCTV).

“Apakah mesej yang cuba dihantar daripada insiden yang berlaku ini? Adakah rakyat Kedah sudah cukup meluat dengan pentadbiran Sanusi?

“Adakah simbahan cat ini adalah permulaan kepada protes atas kertas undi bagi menolak pentadbiran Menteri Besar dan kerajaan Pas?

“Adakah masalah besar yang dibawa oleh pentadbiran Pas di negeri Kedah sehingga kediaman rasmi Menteri Besar dijadikan sasaran melampiaskan kemarahan?” soalnya.

Beliau berharap insiden itu tidak akan berulang lagi kerana perbuatan menggertak pemimpin politik adalah budaya samseng yang tidak memberi teladan yang baik kepada rakyat.

“Saya memohon tindakan tegas daripada pihak berkuasa bagi menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Shaiful Hazizy menegaskan, semua pemimpin dan ahli BN di Kedah mengecam perbuatan yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.

Pada masa yang sama, beliau berkata, BN akan terus membudayakan politik bertamadun sebagai asas perjuangan politik demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat yang lebih baik.

“Saya yakin BN melalui pemimpin peringkat akar umbi dan ahli BN di segenap peringkat akan sentiasa memastikan kematangan dalam berpolitik,” jelasnya. – MalaysiaGazette