TOKYO – Seorang lelaki yang tugasnya untuk membantu memelihara warisan budaya Jepun secara tidak sengaja telah merempuh tandas tertua yang terletak di dalam sebuah kuil Buddha yang sudah berabad-abad usianya.
Tandas di Tofukuji di Kyoto dibina sejak abad ke-15 dan dinyatakan sebagai aset budaya yang penting.
Pintu purbanya rosak selepas kereta pekerja yang berusia 30 tahun itu merempuhnya tanpa menyedari kenderaan tersebut dalam keadaan mod mengundur, kata polis.
Sebelum kejadian, kereta itu diparkir di hadapan tandas berkenaan.
Tiada siapa yang cedera dan tandas tersebut kekal utuh.
Lelaki yang tidak dinamakan itu, bekerja di Pusat Pemeliharaan Warisan Kyoto menghubungi polis sejurus selepas kemalangan itu untuk memberitahu dia telah merempuh kuil berkenaan.
Dia dikatakan melawat kuil itu atas urusan perniagaan, menurut akhbar Sankei Shimbun.
Sekeping gambar dalam akhbar menunjukkan kereta dipandunya merempuh pintu dan tiang kayu tandas berusia 700 tahun itu.
Toshio Ishikawa, Pengarah Institut Penyelidikan Tofukuji, “terkejut” dengan skala kemalangan itu.
Seorang pegawai lain berkata, walaupun kerosakan itu boleh dibaiki, kerja-kerja pemulihan kepada keadaan asalnya memerlukan “banyak kerja”. – BBC