KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan pengelola Liga Malaysia itu telah memansuhkan kelebihan jaringan di tempat lawan (Away Goal) dalam kejohanan kalah mati selaras dengan perubahan terkini AFC dan UEFA.

Perkara itu berdasarkan Artikel 2.6.3(iv)(vi) Peraturan Pertandingan dalam Manual Liga Malaysia yang mana ia adalah peraturan semasa untuk menentukan kelab pemenang dalam pertandingan kalah mati merangkumi peraturan Away Goal.

Justeru MFL telah memutuskan untuk menyelaraskan peraturan dengan memansuhkan peraturan kelebihan ‘Away Goal’ dalam kejohanan kalah mati Piala Malaysia 2022.

“Perubahan peraturan ini bermakna perlawanan yang terikat secara agregat selepas 180 minit timbal balik, akan dilanjutkan ke masa tambahan selama 30 minit.

“Dan jika kedua-dua pasukan masih terikat, maka pemenang perlawanan akan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Ini bermakna pemansuhan peraturan tersebut akan berkuatkuasa dalam kejohanan TM Piala Malaysia 2022 yang bakal membuka tirai pada 26 dan 27 Oktober 2022,” kata MFL dalam satu kenyataan di Facebook miliknya. – MalaysiaGazette