KUALA LUMPUR- Polis mempergiatkan usaha untuk mengenal pasti berkemungkinan wujudnya pembabitan agensi perisikan luar seperti Mossad dalam kes penculikan warga Palestin pada 28 September lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya sendiri tidak mempunyai maklumat mengenai wujudnya pembabitan Mossad.
Katanya, pembabitan perisikan luar masih belum dapat disahkan kerana masih disiasat polis secara mendalam.
“Kita tidak dapat mengesahkan lagi adanya pembabitan agensi-agensi perisikan luar yang terbabit dalam kes penculikan ini.
“Jadi apabila timbul spekulasi tentang agensi Mossad ini, ianya mengganggu siasatan kami dan saya tidak tahu dari mana dia (wartawan) dapat maklumat berkenaan.
“Siasatan kita kini sedang berusaha mengenalpasti jika wujud kaitan agensi berkenaan dalam utusan penculikan itu,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Rapid KL Safety Point di Stesen MRT Kampung Batu hari ini.
Azmi juga menambah, dalam perkembangan berkaitan, pihaknya juga masih belum dapat mengesahkan kebenaran di sebalik laporan akhbar berbahasa Inggeris yang membuat dakwaan berkenaan kes penculikan lelaki Palestin berkenaan.
“Sehingga kini, kita tidak dapat lagi mengesahkan agensi-agensi luar yang terbabit ini. Jadi bila timbul spekulasi ini dia mengganggu siasatan kami,” ujarnya.
Azmi berkata, pihaknya memohon supaya siasatan berhubung kes penculikan itu tidak diganggu kerana membabitkan sensitiviti.
“Apabila membabitkan sensitiviti dan sebagainya, ia tidak sewajarnya disiarkan. Yang kedua, isu keselamatan, saya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat ada beberapa saksi namanya sudah disiarkan.
“Jadi ini tidak baik untuk siasatan kami, ia mengganggu siasatan, sebab itu saya berharap media dapat memberikan kerjasama, jika perkara itu boleh beritahu sudah lama saya beritahu,”katanya.
Mengulas polis akana merakam keterangan Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim, beliau berkata, ia adalah proses biasa dalam siasatan.
“Proses (panggil dan rakam keterangan dari wartawan) berkenaan adalah bagi melengkapkan siasatan polis dan ia adalah proses biasa,” tegasnya.
Semalam akhbar berbahasa Inggeris, NST dalam laporannya mendakwa kononnya ejen Mossad memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya sebagai aset Briged Hamas al-Qassam.
Memetik laporan itu, Mossad dipercayai merekrut aset warga tempatan di Malaysia untuk membantu rejim zionis memburu anggota Hamas di Malaysia termasuk dalam kes penculikan dua lelaki Palestin yang dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam di ibu negara baru-baru ini.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menasihati orang ramai tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang dikhuatiri boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat.
Pada Jumaat minggu lalu, seramai 11 individu termasuk seorang wanita telah didakwa di Mahkamah Majistret di sini di atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit. – MalaysiaGazette