Sebahagian pelajar yang menyertai Program Riadah dan Kebudayaan Minggu Suai Mesra (MSM) 2022 di Stadium UMS, baru-baru ini.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa merancang pelbagai aktiviti bagi memastikan warga universiti itu terus bergiat aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, program-program yang dilaksanakan termasuk menyediakan kemudahan sukan secara percuma di Pusat Sukan UMS.

”Antaranya peminjaman basikal secara percuma dimana para pelajar hanya perlu mengisi borang untuk menggunakan kemudahan yang disediakan. Kita juga mempunyai program ‘Ladies Sports Night’ yang diadakan setiap hari Rabu khas untuk pelajar wanita sahaja.

”Pelbagai kemudahan sukan lain yang terbaik dan bertaraf antarabangsa juga boleh digunakan setiap hari di sini dan pihak UMS akan sentiasa menambahbaik fasiliti ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Riadah dan Kebudayaan Minggu Suai Mesra (MSM) 2022 di Stadium UMS di sini baru-baru ini.

Menurut Kasim, UMS juga sentiasa meningkatkan kebolehcapaian dan ketersediaan tempat latihan untuk kegunaan semua pelajar dan kakitangan UMS.

”Untuk makluman, kita mempunyai padang bola sepak rumput tiruan bertaraf antarabangsa yang diiktiraf satu bintang oleh FIFA, selain stadium bola sepak yang mendapat pengiktirafan Persatuan Kebangsaan.

”Sesungguhnya, keterlibatan pelajar dalam bidang sukan merupakan sebahagian daripada usaha membangunkan sahsiah pelajar serta memupuk semangat berpasukan dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan seiring dengan Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DPSIPT) yang digariskan ke arah memperkasakan modal insan yang seimbang serta berkualiti dari segi akademik dan sukan,” tambahnya.

Pada program berkenaan, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan sukan dan cenderahati kepada atlet UMS melibatkan pelajar dan kakitangan yang mewakili Malaysia ke Sukan Sea di Vietnam dan sukan Asean Universiti Games dan Sukan IPT (SUKIPT). – MalaysiaGazette