MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah dalam arena pengantarabangsaan serta penyelidikan dan inovasi berimpak dunia.
Terbaharu UTeM dalam rangka kerjasama bersama dengan pihak industri berprestij Global Business Düsseldorf di North Rein Westfalia dan Münster University, Jerman dalam bidang teknologi bateri dan hidrogen dunia.
Perkara ini diperincikan sewaktu lawatan pihak UTeM ke sana, baru-baru ini, yang diketuai oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersama Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin.
Massila berkata, langkah proaktif ini merupakan agenda UTeM untuk terus menyerlah dalam penyelidikan dan inovasi teknologi tenaga dunia khususnya buat universiti ini dan memberi kesan langsung buat negeri Melaka serta pelaburan langsung bagi Malaysia.
Jelasnya, antara lain agenda ini turut untuk memastikan penyelidikan dan pendidikan yang dijalankan UTeM terus kekal relevan bersama industri semasa di peringkat antarabangsa.
Langkah ini turut meletakkan UTeM sebagai menjadi hab bagi teknologi bateri dan hidrogen yang terus melalui revolusi selari dengan permintaan dan perkembangan semasa dunia.
Mengulas mengenai kapasiti UTeM, Massila percaya dengan kepakaran yang dimilik UTeM dari segi sumber manusia dan makmal berteknologi tinggi yang ada dapat membantu bagi merealisasikan projek yang bakal diadakan kelak.
”Projek ini turut akan menjana impak berangkai secara langsung buat pelajar UTeM kerana mereka turut akan menggunakan peluang ini bagi mendalami teknologi yang melibatkan kejuruteraan tinggi proses pembuatan bateri,” katanya. – MalaysiaGazette