Dr. Azlinda merasmikan sudut Serambi Ilmu Rakyat@USM disaksikan Mohd Shahrizal, Syaiful Rizal dan Pemangku Ketua Pustakawan, Perpustakaan Hamzah Sendut USM, Mohd Nasir Rashid.

GELUGOR – Prihatin kepada mereka yang memerlukan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan kira-kira RM300,000 sebagai Bantuan Awal Pengajian kepada pelajar IPTA di negeri-negeri utara Semenanjung.

Bantuan itu diberikan kepada 300 pelajar dari keluarga B40 yang menuntut di tiga IPTA iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, yayasan itu melalui Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat (SIR Corner) juga turut menyumbangkan set kelengkapan SIR Corner kepada tiga universiti berkenaan.

Katanya, untuk SIR Corner sahaja, YBR telah memperuntukkan sebanyak RM350,000 setiap tahun bagi langganan bahan bacaan dan pangkalan data.

“YBR telah memperuntukkan RM100,000 kepada pelajar USM dari kalangan keluarga berpendapatan rendah yang menerima tawaran kemasukan melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda serta pelajar sehingga semester ketiga dalam memulakan pengajian di semester baharu.

“Setiap dari mereka akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 sebagai persediaan kemasukan ke sesi pengajian yang baru sahaja bermula.

Mohd Shahrizal (empat dari kanan) dan Dr. Azlinda (tiga dari kiri) bersama replika cek Bantuan Awal Pengajian di USM.

“YBR juga memperuntukkan RM45,000 untuk tiga IPTA di kawasan utara dengan setiap IPTA terpilih menerima RM15,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Replika cek Bantuan Awal Pengajian dan upacara gimik penyerahan SIR Corner disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembanguan Pelajar dan Alumni USM), Prof. Dr. Azlinda Azman.

Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Shahrizal Sahri yang turut menyerahkan Bantuan Awal Pengajian Yayasan Bank Rakyat kepada pelajar USM.

Turut hadir, Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman.

Sementara itu, menurut Mohd Shahrizal, program bantuan awal pengajian itu diwujudkan untuk keluarga kurang berkemampuan terutama masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin banda, agar bantuan berkenaan dapat memberi peluang kepada pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Mengenai SIR Corner, beliau berkata, ia merupakan projek baharu YBR yang menyediakan ruangan selesa di perpustakaan di IPT terpilih yang dilengkapi dengan peralatan komputer bagi memudahkan perkongsian maklumat melalui koleksi bahan bacaan ‘Digital SIR’ yang bersesuai dengan pelajar.

“Projek ini merupakan kolaborasi SIR YBR bersama 18 IPT terpilih di seluruh Malaysia.

“Bantuan ini diharapkan dapat melahirkan pelajar yang lebih komited, berkualiti, mampan serta mampu berdaya saing di semua peringkat yang menjadi asas kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara untuk jangka masa panjang serta berharap agar pelajar memanfaatkan setiap peluang yang disediakan,” katanya. – MalaysiaGazette