SEBERANG PERAI – Seramai 40 pelajar Kolej Komuniti Seberang Jaya bersama tiga pensyarah kanan menyertai Program Khidmat Komuniti RPS Air Banun 2026 bagi membantu meningkatkan kemudahan serta kesejahteraan komuniti Orang Asli suku Jahai di Pos RPS Air Banun, Gerik, Perak pada Sabtu lalu.
Kolej Komuniti Seberang Jaya dalam kenyataan berkata, program berteraskan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu turut mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) HALUAN dan membabitkan pelajar daripada program Diploma Teknologi Elektronik Instrumentasi serta Sijil Kejuruteraan Elektrik.
Katanya, antara aktiviti dilaksanakan termasuk gotong-royong membersihkan surau dan menaik taraf mini perpustakaan bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk.
“Pelajar bersama warga kampung turut bergotong-royong menyediakan hidangan sebelum menikmati jamuan makan tengah hari secara beramai-ramai.
“Program turut diserikan dengan aktiviti sukaneka serta persembahan kebudayaan unik daripada warga suku Jahai yang mengeratkan hubungan antara pelajar dan komuniti setempat,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pihak kolej dan NGO HALUAN turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada isi rumah yang memerlukan bagi membantu meringankan beban seharian mereka.
Katanya, penglibatan pelajar dalam program berkenaan bukan sahaja memberi impak positif kepada masyarakat setempat, malah memupuk nilai empati, jati diri dan kemahiran insaniah dalam diri pelajar.
“Pihak pengurusan kolej merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada NGO HALUAN, barisan penganjur serta seluruh penduduk RPS Air Banun atas kerjasama erat yang diberikan sepanjang program berlangsung,” katanya. – MalaysiaGazette
















