CUEPACS Melayu gaji Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan negeri Sarawak untuk menggabungkan empat pihak berkuasa bekalan air utama di negeri tersebut sebagai entiti tunggal dengan dikenali Lembaga Air Sarawak disambut baik oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ia merupakan langkah terbaik yang mampu meningkatkan perkhidmatan dan penjagaan kebajikan kakitangan secara holistik.

“Cadangan kerajaan pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu membolehkan perkhidmatan bekalan air yang menjadi keperluan asas penduduk lebih baik dan dalam masa yang sama dapat menjaga kebajikan warga kerjanya,” kata beliau dalam kenyataan  hari ini.

Tambah Adnan, pada mulanya, terdapat ura-ura empat agensi yang menguruskan air di Sarawak iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Laku Management Sdn Bhd (LAKU) akan diswastakan.

Pun begitu, jelasnya, ia telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warga kerja daripada keempat-empat entiti itu mengenai nasib yang bakal dihadapi mereka sekiranya penswastaan itu berlaku terutama daripada segi kebajikan dan jaminan pekerjaan pada masa akan datang.

Malah kata Adnan, sudah tentu dalam proses penswastaan akan berlaku pengurangan daripada sudut manfaat sedia ada serta risiko pengurangan kakitangan.

Beliau berkata, penswastaan sepenuhnya juga dibimbangi akan meningkatkan tarif air pada masa akan datang kerana ia sudah tentu akan bersifat keuntungan sepenuhnya.

“Justeru itu, cadangan Kerajaan Negeri Sarawak mahu mengkaji penubuhan Lembaga Air Sarawak adalah suatu langkah yang bertepatan.

“CUEPACS yakin kerajaan Negeri Sarawak mampu menjadikan lembaga air tersebut lebih berdaya saing dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di negeri di bawah bayu tersebut.

“Dalam masa yang sama kebajikan kakitangan sudah pasti tetap menjadi keutamaan kerajaan negeri malah kami juga memuji kerajaan negeri Sarawak di bawah kepimpinan Johari ke atas sikap keterbukaan dan sentiasa menerima pandangan CUEPACS dalam setiap rundingan yang diadakan termasuk dalam isu ini,” tegas Adnan. – MalaysiaGazette