Tengku Zafrul dan Dr Dzulkefly Ahmad

PARLIMEN Kuala Selangor pastinya menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Jika benar Barisan Nasional (BN) akan meletakkan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai calon pastinya Parlimen itu akan menyaksikan pertempuran epik dengan penyandang kerusi  Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub mengeluarkan kenyataan hari ini, menyatakan Amanah mahu Dzulkefly mempertahankan kerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Ini selepas terdapat ura-ura BN membuat keputusan meletakkan Tengku Zafrul.

Dzulkefly yang merupakan Pengarah Strategi Amanah merupakan Menteri Kesihatan semasa era pentabiran Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14 yang hanya bertahan 22 bulan.

Sementara Tengku Zafrul pula Menteri Kewangan berkhidmat di bawah dua perdana menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan Datuk Seri Dr. Ismail Sabri Yaakob selepas Kerajaan PH tumbang.

Dari segi pengalaman politik Dzulkefly lebih jauh senior berbanding Tengku Zafrul. Dzulkefly merupakan pemimpin kanan Pas sebelum bertindak keluar parti itu dan menubuhkan Amanah.

Beliau yang merupakan seorang doktor perubatan dicatatkan mula terlibat dalam politik pada 1998 apabila dilantik sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Pusat.

Dia mula bertanding mewakili Pas dalam PRU-11 pada tahun 2004 di Parlimen Rembau namun tewas.

Namun Dzulkefly berjaya menjadi wakil rakyat pada PRU-12 apabila bertanding di Parlimen Kuala Selangor buat kali pertama pada 2008.

Dia bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi itu pada PRU-13 tetapi menang semula pada PRU-14.

Sementara Tengku Zafrul bukanlah seorang ahli politik dan tidak pernah menyertai mana-mana parti politik secara aktif.

Beliau merupakan ahli korporat yang pakar mengenai ekonomi dan dilantik sebagai menteri selepas mengangkat sumpah sebagai senator apabila Muhyiddin terpilih menjadi perdana menteri pada Mac 2020.

Sebelum menjadi menteri, Tengku Zafrul merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan/Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad.

Beliau juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif CIMB Bank Berhad dan Presiden Pesuruhjaya PT Bank CIMB Niaga Tbk.

Tengku Zafrul hanya secara rasmi menjadi ahli politik tahun ini apabila dilantik menjadi Bendahari BN Selangor untuk menggantikan Datuk Seri Jamal Yunus yang dilantik sebagai Ketua Komunikasi BN Selangor.

Dari sudut profesional kedua-dua mereka adalah pakar dalam bidang masing-masing.

Dzulkefly misalnya mengetuai Kementerian Kesihatan dalam menangani pandemik Covid-19 daripada terus merebak ke seluruh negara. Kes tersebut mula dikesan pada 25 Januari 2020.

Dia kemudiannya mengetuai Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) selepas Kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada hujung Februari 2020.

Imej Dzulkefly agak terjejas sedikit selepas Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Pada 19 Mei 2021 dilaporkan Dzulkefly menyangkal dakwaan Selangor gagal tangani Covid-19.

“Kalau kita ambil kadar kebolehjangkitan, apakah Selangor tertinggi? Tidak, kerana ini berdasarkan data-data yang kita dapatkan daripada kementerian kesihatan,” kata Dzulkefly.

Manakala Tengku Zafrul juga tidak terlepas daripada kritikan namun berjaya memastikan ekonomi negara tidak terjejas teruk berikutan situasi global yang dicetuskan oleh pandemik Covid-19.

Tengku Zafrul bukanlah seorang pemimpin politik yang popular dalam kalangan akar umbi BN. Dia muka baharu.

Namun langkah meletakkan semula Dzulkefly bagi menentang Tengku Zafrul menunjukkan Amanah dan PH berhadapan dengan tekanan untuk mengekalkan kerusi itu.

Meletakkan semula Dzulkefly mengambarkan kehadirian Tengku Zafrul tidak boleh dipandang ringan walaupun pemimpin Amanah itu mendapat majoriti yang besar iaitu 8,498 undi pada PRU14.

Dzulkefly memperoleh 29,842 undi pada pilihan raya yang diadakan pada Mei 2018. Beliau menewaskan calon BN Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim (21,344) dan calon Pas Mohd. Fakaruddin Ismail (8,535).

Pengarah Strategi Amanah itu mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PH. Menang dan kalah adalah pertarungan maruah.

Manakala bagi Tengku Zafrul sekiranya beliau bertanding, ini adalah permulaan bagi mengukur kemampuan beliau sebagai seorang ahli politik.- MalaysiaGazette