KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) selaku pengawalseliaan sentiasa memantau harga tiket penerbangan dari semasa ke semasa terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November depan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam masa yang sama menasihat orang ramai supaya membuat tempahan awal bagi mendapatkan harga tiket penerbangan yang lebih murah serta memanfaatkan promosi yang ditawarkan.
“Elakkan daripada membeli tiket di saat akhir sebelum melakukan perjalanan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Ka Siong menjelang PRU15, setiap rakyat berhak untuk bergerak ke mana-mana destinasi untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
Oleh itu, katanya, syarikat penerbangan disarankan agar turut bersama memainkan peranan dengan memastikan penerbangan ke destinasi penumpang sentiasa tersedia.
Katanya, pihak berkuasa pula perlu mempermudahkan proses-proses berkaitan penambahan jadual penerbangan yang dipohon mengikut keperluan.
“Sebagai contoh, seperti yang dilaporkan, Malaysia Aviation Group telah pun mula menyediakan lebih banyak lagi penerbangan,” katanya.
Hari ini ada kalangan orang ramai melahirkan rasa kesal kerana harga tiket penerbangan yang melambung terutamanya menjelang hari pengundian sehingga boleh menjejaskan peluang mereka untuk membuang undi. – MalaysiaGazette