KUANTAN – Seorang penumpang Perodua Alza meninggal dunia dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di KM246.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) kira-kira jam 4 petang tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori treler, sebuah lori satu tan dan sebuah Perodua Alza,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau memberitahu, pemandu dan penumpang hadapan Perodua Alza mengalami kecederaan dan pihaknya terpaksa menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Manakala seorang penumpang di bahagian belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu disahkan telah meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di tempat kejadian.
Menurut Zulfadli, mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan susulan.
“Mayat mangsa pula telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindaka selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette