Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melawat aktiviti pembelajaran Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental pada Majlis Pelancaran Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental (National Centre Of Excellence for Mental Health) dan Sambutan Hari Kesihatan Mental Tahun 2022 di Cyberjaya. Foto MUHD NA’IM, 21 OKTOBER 2022.

CYBERJAYA – Mana-mana pemimpin politik yang mempunyai masalah kesihatan mental digesa segera menghubungi Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) berhampiran.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara berseloroh berkata, orang politik juga boleh mendapatkan perkhidmatan itu menerusi Talian HEAL dengan menghubungi nombor 15555.

“Mana-mana ahli politik musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini bolehlah dail 15555 kalau tak dapat kerusi termasuk saya juga,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu beliau berucap merasmikan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), di sini, petang ini.

Khairy berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kadar kemurungan dan keresahan telah meningkat lebih daripada 25 peratus pada tahun pertama pandemik Covid-19.

“Ia menunjukkan pertambahan kepada hampir satu billion individu yang telah sedia ada mengalami gangguan kesihatan mental,” katanya.

Jelasnya, Malaysia juga tidak terkecuali daripada dilanda isu kesihatan mental yang menuntut perhatian serius dan tindakan yang segera.

“Situasi di Malaysia amat membimbangkan apabila berlakunya peningkatan ketara kes bunuh diri sebanyak 81 peratus pada 2021 dengan 1,142 kes berbanding 631 kes yang dilaporkan pada 2020,” katanya.

Menurutnya, sejak Talian HEAL diperkenalkan, statistik penggunaan perkhidmatan ini menunjukkan peningkatan sebanyak lima kali ganda iaitu 212,319 panggilan pada 2021 berbanding tahun 2020 sebanyak 44,061 panggilan.

“Pada 10 Oktober 2022 bersempena sambutan Hari Kesihatan Minda Sedunia, saya telah umumkan penambahbaikan ke atas talian MHPSS dengan mewujudkan talian 5-digit atau dikenali dengan Talian HEAL 15555 dan akan mula beroperasi pada 21 Oktober 2022.

“Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan (Talian Heal) 15555 yang dikendalikan oleh Pegawai Psikologi (Kaunseling) KKM akan mula beroperasi pada hari ini dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari termasuk cuti umum,” katanya lagi. – MalaysiaGazette