KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman (KDA FC) telah mengarahkan peguam yang dilantik untuk meneruskan tindakan lanjut di mahkamah rentetan daripada isu ciapan twitter wartawan berbaur fitnah kepada kelab itu pada 10 Oktober lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khamal Idris Ali berkata, KDA FC melalui firma guaman dilantik, Farahazlinda & Co. telah mengeluarkan satu notis tuntutan kenyataan fitnah bertarikh 12 Oktober lalu kepada Mohd Zulhelmi Zainal Azam.
“Selepas tamat tempoh 7 hari masa diberikan untuk melakukan demikian, tiada permohonan maaf secara bertulis diterima dari wartawan tersebut,” katanya di hantaran Facebook milik kelab itu di sini.
Sebelum ini, Kedah mengumumkan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan dokumen sulit berkaitan urusan kelab itu dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Khamal berkata, terdapat unsur fitnah apabila dokumen yang juga surat potongan LHDN kepada kelab tersebar luas.
“KDA FC merujuk satu ciapan oleh pemegang nama ciapan @zulhelmizainal1 dibuat pada hari Isnin, 10 Oktober 2022, pada jam 4.33 petang dan beliau dikenali umum sebagai seorang wartawan sukan.
“Ini telah memberi gambaran buruk kepada kelab seterusnya tanpa fakta menyeluruh berkenaan kandungan surat tersebut dengan hanya satu mukasurat dikongsi wartawan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi ciapan berkenaan juga, ia mengaitkan isu masalah dalaman membabitkan cukai LHDN itu dan kemerosotan prestasi KDA FC hingga menjejaskan pergerakan beberapa staf kejurulatihan dan pemain import ke luar negara.
“KDA FC menafikan sekeras-kerasnya ciapan beliau dan akan mengambil tindakan selaras undang-undang bagi membersihkan nama dan imej KDA FC dan satu notis tuntutan atas kenyataan fitnah akan diserahkan dalam masa terdekat.
“Pihak KDA FC sentiasa menjaga kebajikan pemain dan sentiasa bertanggungjawab atas semua tanggungan termasuklah pembayaran gaji dan cukai pendapatan.
“Penyebaran tanpa kebenaran ini adalah suatu bentuk pengkhianatan berniat jahat dan KDA FC akan membuat aduan kepada pihak LHDN dan Malaysian Football League (MFL) serta menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan dokumen sulit tidak menjadi senjata musuh,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan memantau semua media yang menggunakan sumber ciapan berkenaan sebagai tajuk berita dan kandungan laporan. – MalaysiaGazette