FAM dan UM memeterai MoU kerjasama tingkat prestasi bola sepak negara di Arena UM, Kuala Lumpur. Kredit Foto:FAM

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Universiti Malaya (UM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memulakan kerjasama strategik yang memberi penekanan kepada prestasi tinggi dalam sukan bola sepak.

UM yang mempunyai kemudahan sukan yang dilengkapi dengan peralatan prestasi tinggi dijangka dapat meningkatkan kualiti pasukan bola sepak kebangsaan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata, kolaborasi itu dilihat sebagai jalinan kerjasama yang berharga buat FAM lebih-lebih lagi menjelang kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bermula Disember ini.

“Aspek sains sukan di dalam sukan bola sepak adalah sangat penting buat kami di FAM bagi memastikan skuad bola sepak kebangsaan dapat beraksi di tahap yang maksimum.

“Menerusi kerjasama bersama UM, sudah tentu pemain-pemain kebangsaan dapat meraih faedah daripada peralatan-peralatan canggih yang tersedia di sini.

“Saya yakin dengan kolaborasi ini, trend serta arus terkini bola sepak moden dapat diterapkan di dalam skuad bola sepak kebangsaan berdasarkan kajian yang akan dilakukan di UM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sivasundram bersama pegawai FAM dan UM memantau fasiliti sukan di UM sebelum memeterai MoU meningkatkan prestasi kualiti bola sepak negara. Kredit foto:FAM

Tambah beliau, kerjasama itu akan memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka serta mengkaji mengenai sains prestasi tinggi dalam bidang sukan, khususnya bola sepak.

“Selain itu, ia akan memberikan FAM peluang untuk mendidik kelab-kelab bola sepak di dalam negara serta masyarakat mengenai kepentingan prestasi tinggi sebagai salah satu aspek yang perlu dipandang serius,” ujar. – MalaysiaGazette