Sukarelawan popular kerana membantu mangsa banjir sehingga mendapat jolokan 'Abang Viva' akhirnya menamatkan zaman bujangnya Jumaat lalu.

MELAKA – Sukarelawan popular kerana membantu mangsa banjir sehingga mendapat jolokan ‘Abang Viva’ akhirnya menamatkan zaman bujangnya Jumaat lalu.

Pemilik nama Azwan Omar, 30, itu bagaimanapun meminta maaf kerana terpaksa merahsiakan majlis pernikahannya dengan Evanoza Zakaria atas faktor tertentu.

Bagaimanapun lelaki itu berkata, berita gembira itu akhirnya dapat dikongsi bersama orang ramai menerusi siaran langsung Facebook Live malam tadi namun rakaman itu telah disimpan sebagai tatapan peribadinya.

Ujarnya, berita baik itu terpaksa dirahsiakan dahulu memandangkan dia dan isteri perlu menyelesaikan beberapa isu yang lebih penting.

“Kami telah bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah Ayer Keroh pada 14 Oktober lalu yang dihadiri ahli keluarga terdekat sahaja.

“Sebenarnya, majlis ini sepatutnya berlangsung serentak dengan majlis resepsi pada Disember ini namun terpaksa dirahsiakan atas beberapa faktor.

“Antaranya termasuklah mengelak fitnah kerana kami banyak menjalankan misi kemanusiaan bersama-sama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berkongsi kisah bagaimana dia mengenali isterinya yang berusia 30-an itu, Azwan berkata, Evanoza merupakan seorang penganjur acara yang ditemui selepas dijemput sebagai tetamu bagi sebuah program dianjurkan sebelum ini.

Katanya, dia tertarik selepas jemputan yang diberikan bukanlah di atas nama Abang Viva tetapi nama sebenarnya, Azwan Omar.

“Saya minta maaf jika pernikahan yang dirahsiakan ini tidak disenangi setengah pihak. Insya-Allah kalau sesuai dengan bajet dan saiz dewan, saya ajak semua pada resepsi nanti,” katanya sambil berseloroh berharap akan dikurniakan dua pasang anak kembar.

Semalam, tular sekeping gambar memaparkan Azwan dan Evanoza memakai persalinan akad nikah di laman sosial. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Abang Viva akui dah ada calon isteri, terkejut netizen tanya pasal Emelda