Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Rakyat Perak dianggap bertuah kerana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih Parlimen Tambun untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden Parti Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sehingga kini, Perak masih belum dapat merasa ada wakil rakyat di negeri itu yang diangkat menjadi perdana menteri.

Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berazam untuk memastikan impian Anwar untuk menjadi perdana menteri tercapai.

“Bagi pihak PH Perak, saya mengalu-alukan kedatangan Pengerusi PH Nasional iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Parlimen Tambun.

“Pengumuman yang dibuat semalam ketika Konvensyen PH di Perak sangat signifikan kepada usaha PH untuk menjadi kerajaan menanti usai PRU-15 nanti,” katanya dalam kenyataan.

Parlimen Tambun menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lambang untuk menebus perbuatan khianat mandat rakyat daripada penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Orang Perak belum lagi mendapat seorang PM dari negeri ini walaupun pernah menikmati Parlimen Bagan Datuk selaku Timbalan Perdana Menteri yang kini bergelut di mahkamah atas dakwaan pecah amanah dan salah guna kuasa.

“Tiba masanya orang Perak berbangga calon perdana menteri kali ini dari bumi bertuah Perak Darul Ridzwan.

“Parlimen Tambun adalah lambang kepada menebus perbuatan khianat mandat rakyat dari penyandangnya. Tiba masanya Tambun dan seluruh Parlimen bangkit menolak calon rasuah dan khianat dan memilih calon berintegriti dan berwibawa,” katanya.

Anwar yang merupakan penyandang Parlimen Port Dickson mengumumkan bertanding di Parlimen Tambun malam tadi.

Beliau mengakui Parlimen Tambun bukan satu kerusi yang mudah ditandingi bagaimanapun yakin mampu mencipta kemenangan di kerusi itu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anwar Ibrahim bertanding di Tambun, calon PM untuk PH

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast