saman RCI Tommy
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak sudah mula menjadi mangsa serangan oleh Tan Sri Tommy Thomas sebelum beliau menjadi Peguam Negara lagi.

Tommy sudah menyerang bekas Perdana Menteri dengan pelbagai tohmahan serta kenyataan bermula tahun 2012, kata peguambela mewakili Najib, Yudistra Darma Dorai.

Beliau berkata demikian ketika berhujah dengan mendakwa Tommy mula mengeluarkan kenyataan berkaitan bekas perdana menteri itu ketika masih menjadi orang awam sehingga menjadi Peguam Negara  dan selepas memegang jawatan itu.

“Buktinya juga ada dengan penerbitan buku dikeluarkan oleh Tommy. Banyak komen dibuat olehnya ketika Najib masih sedang berdepan dengan kes di mahkamah. Anda juga boleh lihat komen beliau dalam pelbagai kenyataan kepada media selama ini,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache di sini hari ini.

Hari ini merupakan pendengaran kes saman anak guamnya terhadap Tommy berhubung dakwaan salah laku dalam jawatan awam kerana mengemukakan pertuduhan terhadap Najib yang turut dihadiri oleh peguam Tommy, Alan Gomez.

Najib juga dibenarkan hadir ke prosiding hari ini dari Penjara Kajang setelah disabitkan kesalahan penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International RM42 juta sejak Julai lepas.

Ketika ini juga, Najib sedang di bicarakan dengan pertuduhan penyelewengan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Dalam pada itu, Yudistra juga mendakwa Tommy telah membuat serangan kononnya Najib tidak layak menjadi perdana menteri sekitar tahun 2016 selain dakwaan telah membuat pertemuan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad serta memanggil Najib penipu pada 2015.

Selain itu, ketika Tommy menjadi Peguam Negara, banyak yang telah dilakukan oleh beliau.

“Tommy ada kuasa paling besar di negara ini. Beliau mempunyai kuasa terhadap rakyat, boleh kemuka pertuduhan, gugur atau reman mereka. Saman ini tidak boleh dibatalkan sebaliknya Tommy perlu bertanggungjawab menjawabnya,” hujahnya.

Hakim kemudian menetapkan 25 November ini untuk keputusan kes saman berkenaan.

Untuk makluman, sepatutnya hari ini, peguam Datuk Firoz Ahmad Jamaluddin juga perlu berhujah namun tidak dapat hadir kerana positif Covid-19.

Tahun lalu, Najib memfailkan saman mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan dirancang lebih awal oleh Tommy dan selaras rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Najib mendakwa dituduh secara salah di mahkamah dalam kes 1MDB, IPIC, salah guna kuasa mengikut Akta SPRM 2009 dan pengubahan wang haram mengikut Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Bekas Presiden UMNO itu telah memohon pengisytiharan Tommy melakukan penyelewengan dalam jawatan awam dan ganti rugi RM1.9 juta termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.