KUALA LUMPUR – Seramai 10 lagi mangsa yang terperangkap dengan sindiket pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air semalam.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, kesemua mereka telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 11.50 malam tadi.
Mereka kemudian diserahkan kepada polis bagi proses merakam keterangan untuk membantu siasatan lanjut.
“Sehingga 21 Oktober 2022, seramai 313 orang mangsa warganegara Malaysia telah berjaya diselamatkan dari Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand,” kata Wisma Putra.
Tambahnya, 58 orang lagi masih ditahan di depoh tahanan imigresen negara berkenaan sementara menunggu proses pengusiran.
Wisma Putra mengambil kesempatan merakamkan setinggi penghargaan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dan pihak Kerajaan Kemboja yang mengambil tindakan proaktif menyelamat dan mempercepatkan urusan penghantaran pulang para mangsa.
“Kementerian Luar juga melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia dan agensi-agensi Kerajaan negara-negara berkenaan akan terus bekerjasama dan menggiatkan usaha bagi menangani isu sindiket jenayah ini,” katanya.
Pada masa sama, Wisma Putra menasihatkan warga Malaysia supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran pekerjaan yang diterima, terutamanya melalui media sosial bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa sindiket berkenaan. – MalaysiaGazette