media sosial Mustapha Yaakub veteran najib
Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi kelonggaran kepada Datuk Seri Najib Razak berkempen membantu Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, walaupun peraturan Jabatan Penjara melarang perbuatan tersebut, menteri yang bertanggungjawab mempunyai kuasa untuk membenarkannya.

Beliau difahamkan, semasa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, Menteri Dalam Negeri ketika itu memberi kebenaran kepadanya untuk berkempen dari dalam penjara.

Malah, Mustapha mendakwa, Anwar diizinkan membaca akhbar dan menonton televisyen serta mendapat kemudahan bilik yang lebih selesa.

“Jadinya bukan kerana Najib maka sekatan itu dikenakan, tetapi kerana menteri yang menyekatnya,” katanya melalui pesanan WhatsApp kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan anak Najib, Nooryana Najwa kelmarin yang mempersoalkan tindakan Jabatan Penjara melarang bapanya mengeluarkan sebarang kenyataan termasuk bagi tujuan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Supri Hashim dilaporkan berkata, setakat ini, tiada sebarang kenyataan boleh dikeluarkan oleh mana-mana banduan yang sedang menjalani hukuman penjara.

Arahan itu turut terpakai kepada bekas Perdana Menteri itu jika beliau mempunyai pandangan mengenai suhu semasa politik negara menjelang PRU15.

Mustapha berpandangan, Najib sepatutnya diberi hak dan kebebasan untuk bersuara dari dalam penjara.

“Beliau bukan seorang penjenayah atau tahanan politik yang boleh membahayakan negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette