Kaunter imigresen di BSI sesakmenjelang cuti sambutan Deepavali. Foto FB Komuniti Johor

JOHOR BAHRU – Kira-kira 5,000 pelawat dari negara jiran membanjiri laluan pejalan kaki untuk memasuki Malaysia di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini menjelang ketibaan cuti hujung minggu dan sambutan Deepavali, menyebabkan kawasan itu mengalami kesesakan selama hampir dua jam malam ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata, kesesakan bermula pada pukul 8 malam tadi, dari kaunter pengesahan pasport Imigresen hingga ke laluan bas untuk masuk ke Malaysia, namun keadaan di laluan pejalan kaki itu telah terkawal kira-kira dua jam kemudian.

Beliau berkata, semasa pihak polis bantuan cuba membantu menangani kesesakan di kawasan pengesahan pasport di bangunan itu, beberapa cubaan rempuh telah dilakukan oleh kumpulan pelawat berkenaan.

“Pemantauan dan kawalan (kawasan itu) ditambah, kekuatan anggota bertugas di balai polis BSI serta anggota polis bantuan dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di BSI (ditambah),” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman facebook Polis Johor Bahru Selatan.

Terdahulu tular di laman social Tiktok memaparkan keadaan di kawasan BSI dalam keadaan sesak dan berlaku tolak-menolak dipercayai berebut untuk memasuki negara bersempena perayaan Hari Deepavali pada Isnin depan. – BERNAMA