KUALA LUMPUR – Semua institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini perlu memberi pelepasan kepada pelajar untuk pulang mengundi dari 17 hingga 21 November 2022.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, tarikh pelepasan tersebut bagi memberi tempoh yang cukup kepada pelajar untuk membuat perjalanan pergi dan balik ke lokasi mengundi.
Keputusan ini juga diambil selaras usaha meraikan semangat pelaksanaan Undi 18 seperti yang telah diwartakan oleh kerajaan pada 1 Disember 2021 dan dikuatkuasakan pada 15 Disember 2021 (Seksyen 3 (a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019) dengan matlamat untuk melahirkan generasi yang prihatin dengan sistem pemerintahan negara dan berupaya menyumbang kepada pembentukan kerajaan yang berdemokrasi, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Sehubungan itu, katanya, semua IPT diminta memastikan semua kelas dan aktiviti yang melibatkan pelajar dalam tempoh tersebut ditangguhkan dan diadakan pada suatu tarikh yang lain.
Suruhanjaya Pilihan Raya baru-baru ini telah menetapkan tarikh mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November 2022. – MalaysiaGazette