Ahmad Zahid BN Kit Siang rasuah
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) kini mula berkempen untuk memenangi hati rakyat dengan pujukan supaya mereka diberi peluang semula membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam kempen pujuk rayu itu, mereka menyatakan kesediaan ‘ditendang’ sekali lagi jika presiden kerajaan PH ke laut.

“Apakah PH fikir begitu mudah rakyat Malaysia dipermainkan dengan propaganda seperti ini selepas rakyat menyaksikan apa yang terjadi hanya dalam tempoh 22 bulan?

“Ingatlah sebilangan rakyat pernah bereksperimen pada PRU14. Natijah tersilap memilih kerajaan seperti yang berlaku pada 9 Mei 2018 adalah amat buruk.

“Kemerosotan ekonomi, kewangan negara kucar-kacir, ketidakstabilan politik, keharmonian hidup masyarakat terganggu dan kebajikan rakyat dikurangkan,” katanya dalam hantaran Facebooknya, hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata, aset strategik negara turut dilelong sewenang-wenangnya, manakala projek untuk rakyat difaraid oleh kroni dan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar.

Katanya, ini menyebabkan ramai hilang pekerjaan apabila pentadbiran kerajaan PH lebih mengutamakan politik berbanding berkhidmat untuk rakyat.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat bahawa PRU15 bukan lagi masa untuk Malaysia bereksperimen.

“PRU15 sangat mustahak dalam menentukan masa depan tanah air dan masyarakatnya.

“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama pada hari pengundian 19 November ini. Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terbukti berkemampuan, berpengalaman, kukuh dan stabil perlu dibentuk,” katanya.

Beliau berkata, dunia diramalkan berdepan kemelesetan ekonomi global tahun depan oleh badan antarabangsa dan Malaysia akan turut berdepan tempiasnya.

“Oleh itu, usah memperjudikan masa depan negara dengan memilih PH hanya kerana kita mempunyai sentimen politik akibat terpengaruh dengan bisikan pemimpin mereka.

“Insya-Allah kita yakin rakyat tidak akan terpedaya lagi dengan pujukan dan propaganda PH yang bertujuan memanipulasi daya fikiran rakyat ini,” ujar beliau.

Menurutnya, majoriti rakyat akan berlaku rasional dengan memilih kestabilan dan kemakmuran, bukan memilih kepentingan politik PH semasa membuat penentuan PRU15.

“Lebih baik kita ‘tendang’ mereka lebih awal supaya mereka tidak merosakkan negara dan kesejahteraan keharmonian hidup masyarakat sekali lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast