Pelbagai jenis dadah bernilai RM190,000 yang berjaya dirampas daripada seorang lelaki tempatan dalam serbuan di kampung Baru, ibu negara semalam oleh polis Dang Wangi. Ihsan foto: IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Sebuah rumah di Kampung Baru yang dijadikan sebagai setor penyimpanan dan pengedaran dadah terbongkar dengan tertangkapnya seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, lelaki itu ditahan petang semalam dalam satu serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik 6 petang semalam.

Lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Sungai Baru.

“Pemeriksaan di dalam rumah suspek berjaya menemui pelbagai jenis dadah seberat 59 kilogram (kg) kanabis, 1.015 kg syabu dan 450 gram heroin yang disimpan dalam rumah itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nilai kesemua rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM190,200.

Menurut Noor Dellhan, suspek turut disahkan positif dadah jenis amphethamie, ketamin dan morfin.

”Suspek juga mempunyai sebanyak 15 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pernah ditahan di bawah Seksyen 6(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK),” tambahnya.

Suspek tinggal di Wangsa Maju dan rumah tersebut disewa untuk dijadikan stor simpanan bekalan dadah.

Noor Delhan menambah, polis kini menyiasat sumber bekalan dadah yang diperoleh lelaki berkenaan.

Tambahnya, kesemua dadah yang dirampas itu adalah untuk pengedaran dan penjualan di kawasan Kampung Baru.

Suspek kini direman sehingga 28 Oktober ini untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan suspek lain dan usaha mengesan saki-baki individu sedang dipergiatkan. – MalaysiaGazette