Datuk Dr. Nor Azimi Yunus

KUANTAN – Sebanyak 229 notis kompaun telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang bernilai RM53,850 dalam operasi penguatkuasaan bersepadu Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 Siri 14/2022 pada dua hari tempoh perlaksanaannya.

Pengarah JKNP, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, operasi yang dijalankan pada 21 dan 22 Oktober 2022 berjaya mengesan pelbagai kesalahan merokok di tempat larangan merokok, kegagalan pemilik premis memastikan tiada orang merokok serta penjualan rokok yang tidak mengikut peraturan.

Jelasnya operasi yang melibatkan seramai 78 inspektorat dari semua daerah di negeri ini telah memeriksa 372 lokasi tumpuan awam dan tempat jualan hasil tembakau terutamanya di daerah Kuantan dan Bentong.

“Dalam memperjuangkan Dasar Generasi Penamat (GEG), operasi ini turut menguatkuasakan peraturan sedia ada berkaitan larangan merokok terhadap orang belum dewasa (OBD).

“Menerusi operasi ini didapati seramai 27 orang belum dewasa telah diberikan notis kompaun kerana didapati merokok, menghisap rokok elektronik atau vape atau memiliki hasil tembakau,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Daripada jumlah tersebut, 18 orang dikesan di kompleks beli-belah, enam orang di tempat makan, dan dua orang di taman awam dan seorang di hentian pengangkutan awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, notis kompaun juga dikeluarkan kepada seorang penjual rokok kerana gagal mempamerkan tanda larangan penjualan bawah 18 tahun.

Untuk rekod sehingga 22 Oktober, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah mengeluarkan 7645 notis kompaun dengan 556 notis daripadanya adalah melibatkan larangan terhadap orang belum dewasa.

Nilai kompaun keseluruhan yang telah dikeluarkan di bawah PPKHT 2004 adalah sebanyak RM1,830,300. – MalaysiaGazette