ALOR SETAR – Seramai 547 penumpang serta kru feri ke Langkawi terkandas akibat tersangkut pada beting lumpur ketika melalui perairan Kuala Kedah di sini, hari ini.
Difahamkan, proses menarik feri keluar dari beting lumpur sedang dijalankan ketika ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 4.55 petang.
Katanya, berdasarkan maklumat panggilan, seramai 547 individu terdiri daripada penumpang dan kru feri dilaporkan terkandas akibat kejadian.
“Setibanya di lokasi, kita dapati feri yang dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi tersadai di beting lumpur dan tidak dapat bergerak.
“Ketika ini pihak kami bersama Maritim Malaysia, Jabatan Laut dan nelayan tempatan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. – MalaysiaGazette