Insiden kekecohan yang berlaku semasa program anjuran MUDA di Muar, Johor, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan perbuatan melempar mercun pada program partinya di Muar, malam tadi bukan sesuatu yang lawak.

Beliau meminta semua pihak membayangkan apa yang mungkin berlaku sekiranya mercun itu meletup di bawah kereta di lokasi sekitar Majlis Malam Mesra Muo di Jalan Bakri.

“Hentikan budaya provokasi ini. Lagi kami ditekan, lagi kami melawan!

“Kami di sini untuk membina Malaysia yang bersatu dan makmur untuk semua!” katanya dalam ciapan Twitter, hari ini.

Kekecohan dilaporkan berlaku pada Majlis Malam Mesra Muo dan pelancaran jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) MUDA Parlimen Muar malam tadi ekoran provokasi oleh kira-kira 20 lelaki.

Ketua Penerangan MUDA, Muhammad Amir Fiqri Mustapha berkata, kumpulan berkenaan turut mengeluarkan kata-kata kesat, tolak menolak, melemparkan mercun dan merosakkan semua kereta milik penyokong parti itu.

Insiden kira-kira 20 minit tersebut berakhir selepas kumpulan terbabit lari selepas mercun dilemparkan.

Sebelum ini, majlis ceramah anjuran MUDA di Parit Jawa, Muar pada 16 Oktober lalu dicemari insiden provokasi sekumpulan penunggang motosikal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast