Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Keputusan Parti Amanah Negara (Amanah) mencalonkan Khalid Abd Samad di Parlimen Titiwangsa merupakan pengorbanan yang luar biasa, kata Pengarah Pilihan Raya parti itu, Datuk Asmuni Awi.

Katanya, meninggalkan Shah Alam bukan keputusan mudah apatah lagi Parlimen tersebut telah dikuasai Khalid selama tiga penggal dan pada pilihanaraya umum yang lalu beliau memperoleh majoriti 33,849 menunjukkan kepimpinannya diterima semua pihak.

“Titiwangsa bakal menjadi percaturan sengit kepada Khalid. Beliau akan mempertaruhkan rekod cemerlangnya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan untuk memastikan Titiwangsa kekal sebagai Wilayah HARAPAN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Asmuni, banyak lagi percaturan berisiko tetapi berstrategi tinggi akan diambil oleh Pakatan Harapan untuk memastikan pengundi seluruh negara turun mengundi pada 19 November dengan keyakinan dan doa untuk membentuk sebuah kerajaan persekutuan baharu.

“Hapuskan rasuah akan menjadi tekad utama PH, menyediakan peluang pekerjaan bermutu dan terjamin kepada anak tempatan adalah hasrat HARAPAN dan memulihkan imej negara melalui kestabilan politik dan ekonomi yang kukuh merupakan iltizam seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan luar biasa penganjuran Konvensyen Pakatan Harapan pada 20 November lalu telah menyuntik semangat dan motivasi yang tinggi kepada pimpinan serta pendukung PH sekaligus menandakan kesiap-siagaan untuk menghadapi PRU.

Katanya, umum maklum bahawa PRU kali ini akan berlangsung dalam suasana tidak menentu musim tengkujuh sekaligus berisiko menyebabkan kadar turun mengundi rendah.

Tetapi, menurut beliau, gendang telah dipalu, tiada pilihan untuk PH menyelamatkan tanah air dan rakyat negara ini melainkan berjuang dengan tekad tinggi untuk menang dan menubuhkan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Amanah Perak berkata, pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Parlimen Tambun memang mencabar dan berisiko.

“Tetapi pada masa yang sama, keputusan itu telah meletakkan HARAPAN untuk berjuang semaksimumnya untuk memastikan kemenangan rakyat diperoleh pada 19 November nanti,” katanya. -MalaysiaGazette