MELAKA – Perjalanan tiga beranak ke Kuala Lumpur bertukar tragedi apabila kereta dinaiki dihempap sebatang pokok tumbang akibat dipukul ribut dalam kejadian hujan lebat semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang di Lebuh Ayer Keroh itu, semua mangsa bagaimanapun terselamat walaupun terperangkap di dalam kereta.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Iswandy Aripin, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh berkata, sembilan anggota dan sebuah jentera serta EMRS bergegas ke lokasi untuk memberi bantuan.
“Mangsa, pasangan suami isteri berusia 50-an dan seorang remaja yang ketika itu sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur berjaya dikeluarkan dengan selamat oleh anggota bomba.
“Pemandu Proton Suprima berkenaan sebelum itu sudah memperlahankan kenderaan setelah melihat ada pokok tumbang di hadapannya.
“Namun nasib tidak menyebelahinya apabila keretanya pula dihempap sebatang pokok lain ketika cuba mengundurkan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Iswandy berkata, setakat jam 11 malam tadi, bomba menerima laporan empat kes pokok tumbang dengan tiga kejadian di Jalan Delima 2, Bukit Beruang, Jalan Bukit Katil ke Tehel dan di Taman Semabok Jaya.
Sementara itu, kejadian hujan disertai ribut petir lewat petang semalam turut mengakibatkan beberapa kejadian kemusnahan harta benda akibat dipukul ribut yang tular di media sosial namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – MalaysiaGazette.