P. Ramasamy

SIMPANG AMPAT – Pengumuman penyandang kerusi Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sesuatu yang mengejutkan, dakwa Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang berkata, ketika ditemu bual komuniti DAP negeri, Kasthuri menyatakan hasrat mahu bertanding pada  PRU15.

“Setahu saya dia (Kasthuri) sedia bertanding kerusi Parlimen atau mana-mana kawasan yang ditentukan parti DAP.

“Saya sendiri tak tahu apa sebab dia buat pengumuman serta kenyataan media baru-baru ini bahawa tidak akan bertanding lagi,” katanya ketika ditemui di rumah terbuka Deepavali beliau di Bandar Tasek Mutiara di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas tindakan yang akan diambil DAP berhubung penarikan diri Kasthuri, Ramasamy mendakwa, beliau tidak tahu sama ada pengumuman tersebut dibuat secara sukarela atau dipujuk untuk berbuat demikian.

“Saya tak tahu selok belok perkara itu tapi ada sesuatu lah kerana ketika ditemu bual pimpinan parti negeri dia nyatakan masih mahu bertanding,” katanya ringkas.

ARTIKEL BERKAITAN

Kasthuri Patto tak pertahan kerusi Batu Kawan

Pada 20 Oktober lalu, Penyandang kerusi Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto mengumumkan tidak bertanding pada PRU15 bagi memberi laluan kepada calon lain mewakili DAP di kerusi berkenaan.

Kasthuri yang menjadi Ahli Parlimen Batu Kawan selama dua penggal di kerusi berkenaan berkata, keputusan tersebut adalah perkara paling sukar yang perlu dibuat dalam hidupnya.

“Saya berundur dengan rela hati dan tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang untuk memberi laluan kepada pemimpin masa depan dalam DAP,” katanya. – MalaysiaGazette